Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil semula semua individu yang dikaitkan dengan dakwaan skandal rasuah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata tindakan itu diambil susulan laporan forensik terhadap rakaman video skandal yang tular di media sosial tahun lalu telah pun siap dan diserahkan kepada pegawai penyiasat minggu lalu.
“Saya telah arahkan supaya semua individu yang muncul dalam video, atau yang memiliki video tersebut, dipanggil semula untuk dirakamkan percakapan bagi mengesahkan kandungan video itu,” katanya dalam sidang media hari ini.
Tambah beliau, siasatan masih diteruskan tanpa membuat kesimpulan terhadap ketulenan video tersebut. Penilaian forensik akan dikaji oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi menentukan kesahihannya sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Azam turut menegaskan bahawa beliau telah menetapkan tempoh satu bulan setengah untuk pasukan penyiasat menyiapkan kertas siasatan berkenaan.
Terdahulu, SPRM telah memanggil semula lapan ADUN Sabah dan memainkan semula video skandal tersebut di hadapan mereka sebagai sebahagian daripada usaha mendapatkan penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan, termasuk yang berkaitan pelesenan lombong mineral.
