
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak menolak kemungkinan untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) sekiranya rundingan kerjasama politik dengan gabungan lain gagal mencapai kata sepakat.
Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata kemungkinan itu timbul sekiranya berlaku pertikaian dalam soal pengagihan kerusi antara parti-parti yang berhasrat membentuk pakatan. Menurutnya, senario ini boleh menjadikan PRN17 sebagai medan pertandingan terbuka dan GRS bersedia menghadapi segala kemungkinan, termasuk bergerak sendiri.
“Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, sebelum ini menyatakan kesediaan GRS untuk bertanding solo, terutama selepas BN dan PH mengumumkan kerjasama mereka. Ramai melihat langkah itu sebagai satu bentuk penghinaan terhadap GRS,” katanya dalam satu kenyataan.
Joniston menyifatkan pertandingan terbuka dalam PRN17 sebagai peluang kepada rakyat Sabah untuk menentukan masa depan politik negeri – sama ada kekal dipimpin oleh parti tempatan seperti GRS atau parti yang berpangkalan di Semenanjung seperti UMNO-BN, PH dan Warisan.
“Pilihan raya ini boleh menjadi satu bentuk referendum bagi rakyat Sabah – untuk memilih kepimpinan tempatan atau parti yang beroperasi dari Kuala Lumpur,” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu itu yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata GRS telah membuktikan kemampuan sebagai gabungan parti tempatan dalam melaksanakan pembangunan yang bermakna dan mengekalkan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan.
Beliau menekankan bahawa kerjasama erat antara kerajaan negeri yang dipimpin GRS dan Kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuahkan hasil positif.
Antaranya ialah peningkatan geran tahunan kepada Sabah daripada RM53 juta semasa pentadbiran Warisan kepada RM600 juta di bawah GRS, serta pemeteraian Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara kerajaan negeri dan PETRONAS yang membawa pulangan ekonomi kepada negeri.
“Dengan tadbir urus berfokus melalui pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dan hubungan strategik dengan Putrajaya, hasil tahunan negeri meningkat kepada RM6.9 bilion dan rizab negeri kini hampir mencecah RM8 bilion,” tambahnya.
Joniston turut menegaskan bahawa walaupun Sabah menjalin hubungan erat dengan Persekutuan, negeri ini tetap perlu dipimpin oleh pemimpin tempatan yang tidak tunduk kepada arahan luar.