LAHAD DATU: Mayat seorang lelaki warga emas ditemukan terdampar di tepi pantai belakang Pasar Rakyat, Lahad Datu, semalam.
Mayat lelaki berusia 62 tahun itu ditemukan oleh orang awam sekitar jam 2 petang, sebelum dilaporkan melalui panggilan kecemasan MERS999.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Assisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu pada jam 2.20 petang.
Beliau berkata, sepasukan polis telah diarahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan dan siasatan ke atas mayat yang ditemukan itu.
“Sebaik tiba, pasukan polis mendapati seorang lelaki terdampar di atas batu di tepi pantai berhampiran belakang pasar dalam keadaan tidak bernyawa.
“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian, polis menemukan beberapa dokumen pengenalan diri mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini semalam.
Menurutnya, mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kejadian.
Tambah beliau, hasil siasatan awal mendapati tiada perlakuan unsur-unsur jenayah ditemui di tempat kejadian dan pada tubuh badan mangsa.
“Mangsa dipercayai tergelincir dan terjatuh di kawasan berbatu yang licin di belakang pasar berkenaan sebelum lemas.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Lahad Datu untuk pemeriksaan lanjut dan bedah siasat,” katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.
Sumber: UB