KOTA KINABALU: Kebergantungan kepada satu-satunya laluan penghantaran elektrik yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah menyebabkan bekalan elektrik di kawasan terjejas terpaksa disalurkan secara bergilir-gilir susulan insiden menara penghantaran T313.
Sabah Electricity dalam kenyataan menerusi Facebook rasminya petang tadi memaklumkan, kapasiti penjanaan elektrik setempat yang terhad perlu dikongsi antara daerah bagi memastikan kestabilan sistem bekalan.
“Sabah ketika ini hanya mempunyai satu laluan penghantaran elektrik yang menghubungkan Pantai Barat dengan Pantai Timur. Apabila laluan ini terputus, Pantai Timur perlu bergantung kepada sumber penjanaan setempat.
“Pada masa ini, kapasiti penjanaan setempat adalah terhad dan perlu dikongsi dengan daerah berhampiran. Oleh itu, bekalan elektrik perlu disalurkan secara bergilir-gilir bagi memastikan sistem kekal stabil,” menurut kenyataan itu.
Sabah Electricity turut melaksanakan kaedah islanding, iaitu memanfaatkan stesen janakuasa setempat bagi membekalkan elektrik tanpa bergantung kepada talian penghantaran yang terjejas.

Setakat ini, stesen janakuasa setempat di Tawau berjaya menyalurkan bekalan elektrik kepada pengguna di daerah itu dan kawasan berhampiran, manakala stesen janakuasa di Sandakan masih dalam proses pemulihan.
Beberapa set janakuasa bergerak (genset) turut digerakkan dari Pantai Barat ke Pantai Timur bagi membekalkan elektrik kepada kemudahan penting termasuk hospital, sekolah dan balai polis.
“Segala sumber, aset dan tenaga kerja yang tersedia terus digerakkan dengan satu keutamaan, iaitu mempercepatkan pemulihan bekalan elektrik kepada pengguna yang terjejas,” katanya.
Sabah Electricity turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa menerusi saluran rasminya.
