KOTA KINABALU: Sabah Electricity (SE) sedang memasang kabel penahan pada dua menara penghantaran bagi mengelakkan kedua-dua struktur itu turut tumbang sebelum kerja pengalihan kabel penghantaran menara T313 dilaksanakan.
SE menerusi kenyataan di Facebook pada jam 8.45 malam ini memaklumkan, pemasangan kabel penahan itu penting bagi memastikan kestabilan kedua-dua menara berkenaan sepanjang proses pengalihan kabel.
“Pemasangan kabel penahan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum kerja-kerja pengalihan kabel penghantaran T313 dimulakan.
“Ini bagi memastikan kedua-dua menara berhampiran kekal stabil dan tidak turut tumbang akibat tarikan kabel semasa proses pengalihan,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, jentera berat masih digunakan bagi mengangkat kabel penghantaran yang merentangi jalan raya.
Menurut SE, kerja berkenaan merupakan sebahagian daripada persediaan pemasangan menara sementara menggunakan Sistem Pemulihan Kecemasan (ERS) bagi memulihkan laluan penghantaran elektrik yang terjejas.
“Segala sumber, aset dan tenaga kerja yang tersedia terus digerakkan bagi mempercepatkan pemulihan bekalan elektrik kepada pengguna di Pantai Timur Sabah, tanpa mengabaikan aspek keselamatan pasukan teknikal dan orang awam,” katanya.
SE turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna serta menasihatkan orang ramai mendapatkan perkembangan terkini menerusi halaman Facebook rasmi Sabah Electricity Careline.
Terdahulu, SE memaklumkan gangguan bekalan elektrik itu menjejaskan 153,599 pengguna di tujuh daerah di kawasan Pantai Timur dengan pemulihan penuh disasarkan dalam tempoh enam hari.
