KOTA BELUD: Seorang lelaki berusia 32 tahun melecur pada bahagian muka dan badan selepas terlibat dalam kebakaran membabitkan deretan kedai jenis separuh kekal di hadapan SMK Narinang, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 5.32 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 22 kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK I Hasmaddy Agum, melaporkan setibanya jentera pada jam 5.55 pagi, didapati kebakaran melibatkan satu blok sembilan pintu kedai berkeluasan kira-kira 150 x 40 kaki dan dianggarkan musnah sebanyak 95 peratus.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air.
Sumber air diperoleh daripada jentera dan pili bomba berhampiran, namun pili di kawasan sekolah didapati tidak mempunyai tekanan air. Pasukan bomba kemudian mendapatkan bekalan air tambahan sejauh kira-kira tiga kilometer di kawasan Tag Valley, Kota Belud untuk pengisian semula.
Dalam kejadian itu, enam mangsa dilaporkan terlibat. Seorang lelaki dewasa mengalami kecederaan melecur manakala lima lagi mangsa termasuk seorang wanita dan empat kanak-kanak berusia antara satu bulan hingga 11 tahun dilaporkan selamat.
Semua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kota Belud menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.
Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 7.13 pagi dan ditamatkan pada jam 10.55 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
Ketua BBP Kota Belud, PPgB Elge Bakuk berkata, pihaknya bertindak pantas sejurus menerima panggilan kecemasan bagi mengelakkan api daripada merebak ke kawasan berhampiran.
“Setibanya di lokasi, kebakaran didapati telah merebak hampir keseluruhan blok kedai. Pasukan kami terus menjalankan operasi pemadaman secara agresif dan memastikan keselamatan mangsa serta orang awam terjamin,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
