KUALA LUMPUR: Sabah merekodkan 614 kes Penyakit Tuberkulosis (Tibi), sekali gus menjadi negeri dengan jumlah kes tertinggi di Malaysia setakat Minggu Epidemiologi ke-5 tahun ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan, memaklumkan sebanyak 503 kes baharu direkodkan dalam tempoh berkenaan, menjadikan jumlah keseluruhan kes Tibi yang dilaporkan di seluruh negara mencecah 2,571 kes.
Menurut KKM, Sabah menyumbang 23.88 peratus daripada jumlah keseluruhan kes nasional. Selangor mencatatkan jumlah kedua tertinggi dengan 476 kes (18.51 peratus), diikuti Sarawak sebanyak 257 kes (10.00 peratus).
Johor pula merekodkan 233 kes (9.06 peratus), manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan 202 kes (7.86 peratus). Negeri-negeri lain yang turut merekodkan kes ialah Pulau Pinang (148 kes), Kedah (144 kes), Perak (127 kes), Kelantan (96 kes), Pahang (81 kes), Terengganu (60 kes), Negeri Sembilan (58 kes), Melaka (42 kes), Perlis (17 kes) dan Wilayah Persekutuan Labuan (16 kes).
Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada terutama menjelang musim perayaan dan cuti panjang dengan mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul serta memakai pelitup muka di kawasan sesak.
Individu yang mengalami gejala seperti batuk berpanjangan, demam, hilang selera makan atau susut berat badan digesa menjalani saringan segera di fasiliti kesihatan terdekat.
KKM menegaskan langkah pencegahan ini berteraskan prinsip penilaian risiko kendiri dan merupakan tanggungjawab sosial penting dalam melindungi diri, keluarga serta komuniti daripada penularan penyakit berjangkit.
