KOTA BELUD: Lima individu termasuk tiga kanak-kanak cedera selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 15 meter di Kampung Pituru Laut, malam tadi.
Menurut kenyataan rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, panggilan kecemasan diterima menerusi talian NG999 pada jam 8.01 malam sebelum sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.
Pasukan bomba tiba pada jam 8.33 malam dan mendapati lima mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Ketua Balai BBP Kota Belud, PPgB Elgie Bakuk berkata, semua mangsa mengalami kecederaan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS di lokasi sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Setibanya pasukan di lokasi, kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam. Pasukan EMRS segera memberikan rawatan awal sebelum membawa mangsa ke hospital.
“Operasi berjalan lancar dan ditamatkan selepas kami memastikan tiada lagi bahaya di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mangsa yang terlibat ialah seorang wanita berusia 40 tahun, seorang lelaki berusia 44 tahun serta tiga kanak-kanak lelaki masing-masing berusia 4, 7 dan 10 tahun.
Operasi melibatkan satu jentera FRT bersama enam anggota serta satu jentera EMRS dengan dua anggota. Turut membantu di lokasi ialah dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.07 malam selepas pihak bomba memastikan keadaan selamat dan terkawal. Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
