KUALA LUMPUR, 1 November 2025 — Anak jati Sabah, Ericson Lotidis, mencipta sejarah apabila muncul sebagai Juara Cookie Run Trading Card Game (TCG) – Brave League 2025 Season 2 Final Malaysia, yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL) pada 1 November 2025.
Kejohanan berprestij ini menghimpunkan pemain terbaik dari seluruh negara bagi merebut gelaran juara nasional serta peluang untuk mewakili Malaysia ke peringkat dunia di Korea Selatan pada April 2026.

Negeri Sabah turut menonjol dalam kejohanan kali ini dengan menghantar lapan wakil pemain, iaitu Ericson Lotidis, Jivinod J Kuyun, Joanna Chin Mei Ling, Alvin Jonathan Joymon, Renge Soon Lee Wah, Farren Tan, Chin Hui Juen, dan Lim Lianq Jou.
Daripada lapan wakil tersebut, dua pemain — Ericson Lotidis dan Farren Tan — berjaya mara ke peringkat Top 8. Ericson kemudian meneruskan kecemerlangannya sehingga ke peringkat akhir, di mana beliau menumpaskan lawannya untuk dinobatkan sebagai Juara Kebangsaan.
Dalam perlawanan akhir yang sengit, Ericson menggunakan Deck Red Velvet Midrange. Meskipun tewas pada pusingan pertama, beliau berjaya bangkit dan menewaskan lawan dalam dua pusingan berikutnya dengan strategi berkesan. Kad Fire Spirit Cookie menjadi kad penentu kemenangan — digelar sebagai “kad harapan” dalam dek beliau — yang membawa kejayaan gemilang ke negeri di bawah bayu.

Dengan kemenangan ini, Ericson akan mewakili Malaysia ke Kejohanan Dunia Cookie Run TCG di Korea Selatan, menjadikannya wakil tunggal negara ke kejohanan antarabangsa tersebut. Semua perbelanjaan perjalanan dan penyertaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur.
Acara utama dunia ini akan menghimpunkan pemain dari 10 wilayah kompetitif utama, merangkumi Korea, Taiwan, Thailand, Vietnam, Singapura, Malaysia, Indonesia, Filipina, Amerika Syarikat dan Kanada. Kejohanan ini menjadi pentas penyatuan pemain global dalam satu pertandingan berprestij bagi menentukan juara dunia Cookie Run TCG.
Permainan Cookie Run Trading Card Game (TCG), atau dikenali sebagai permainan kad dagangan, menuntut daya fikir kritikal yang tinggi serta kemahiran matematik bagi membuat keputusan tepat dalam masa singkat. Ia mengasah minda pemain dan pada masa sama menggalakkan interaksi sosial yang sihat, memupuk persahabatan dan semangat kesukanan.
Dalam permainan Cookie Run TCG, setiap pemain membina dek 60 kad yang mengandungi pelbagai watak “Cookie” dan kad sokongan. Objektif utama permainan adalah untuk menewaskan lawan dengan menyebabkan jumlah “Fainted Cookies” di kawasan “Break Area” mencecah 10 atau lebih.
Permainan ini direka bagi memudahkan pemain baharu belajar asas permainan, sambil tetap mengekalkan kedalaman strategi yang mencabar untuk pemain berpengalaman. Ia semakin mendapat tempat dalam kalangan pemain muda Malaysia, dengan penyertaan seawal usia 9 tahun ke atas.
Kejayaan Ericson Lotidis bukan sahaja mengangkat nama Sabah tetapi juga mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, membuktikan bahawa anak muda tempatan berpotensi besar dalam arena permainan kad strategi dunia
