KOTA KINABALU: Sabah terus memperkukuh kedudukannya dalam sektor tenaga negara apabila kerajaan negeri hari ini memformalisasikan pengambilalihan 25 peratus pegangan ekuiti dalam PETRONAS PFLNG 3 Sdn Bhd, menandakan satu lagi langkah strategik dalam usaha mengukuhkan kedaulatan ekonomi dan sumber tenaga negeri.
Perjanjian muktamad tersebut dimeterai antara SMJ Energy Sdn Bhd (SMJ Energy), syarikat milik penuh kerajaan negeri Sabah, dan PETRONAS LNG Sdn Bhd, anak syarikat kepada PETRONAS.
Langkah ini merupakan susulan kepada pemeteraian Kepala Perjanjian pada 17 Julai lalu di Kuala Lumpur, yang disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik.
Ketua Menteri berkata, pengambilalihan ini bukan sekadar memperkukuh sinergi antara PETRONAS dan negeri Sabah, malah membuka laluan kepada lebih banyak peluang kerjasama strategik pada masa hadapan.
“Langkah ini bukan sahaja akan memperkukuh sinergi antara PETRONAS dan negeri Sabah, tetapi juga akan membuka potensi bagi kerjasama seumpama ini pada masa hadapan,” katanya.
Projek PETRONAS PFLNG 3, yang kini sedang dibangunkan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), merupakan kemudahan gas asli cecair terapung (FLNG) bernilai USD3.1 bilion.
Ia dijangka beroperasi pada separuh kedua tahun 2027 dengan kapasiti pengeluaran 2 juta tan setahun (2.0 MTPA).
Pelaburan ini menambah kepada portfolio pelaburan sedia ada SMJ Energy, yang kini memiliki 50% kepentingan dalam Samarang Production Sharing Contract, 10% dalam PETRONAS LNG 9 Sdn Bhd, 25% dalam PETRONAS Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd (SAMUR), serta pemilikan penuh Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) yang mengendalikan aset FPSO dan FSO.
Selain itu, SMJ Energy turut mempunyai hak free carry dan back-in rights dalam blok penerokaan SB409 (20%), SB403 (20%), SB306A (15%), dan SB306B (15%), menjadikan Sabah semakin berpengaruh dalam industri minyak dan gas negara serta memperkukuh agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi berasaskan sumber negeri.
