KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa GRS tidak membuang mana-mana individu dalam proses pemilihan calon Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17, sebaliknya ada yang memilih meninggalkan parti selepas tidak terpilih sebagai calon.
“Kita tidak buang, mereka sendiri yang buang diri mereka. Yang tidak dapat calon itu, mereka fikir calon sahaja. Bila tidak dapat, mereka keluar. Ini bukan ciri pemimpin atau pejuang,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Watikah Felo SMJ 4.0 di Menara Kinabalu hari ini.
Hajiji turut memaklumkan bahawa senarai calon GRS sudah 100 peratus dimuktamadkan dan hanya menunggu untuk diumumkan sekitar 11 atau 12 November ini, iaitu tiga hingga empat hari sebelum hari penamaan calon.
Beliau menjelaskan manifesto GRS pula akan dilancarkan satu atau dua hari selepas penamaan calon dibuat.
Mengulas kenyataan berhubung kemungkinan “free for all”, Hajiji menegaskan perkara itu tidak berlaku dan kerjasama antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) masih kekal utuh.
“Belanggar sikit-sikit itu bolehlah… tapi kita masih bekerjasama dengan PH,” katanya ringkas.
Hajiji pada masa yang sama mengingatkan supaya tiada pihak terus melobi selepas calon ditutup kerana keputusan telah dimeterai dan hanya menunggu pengumuman rasmi.
“Sudah selesai semuanya, tinggal umum sahaja. Jadi pelobi-pelobi jangan terlampau lobi… biar keputusan presiden dan pengerusi GRS,” tegasnya.
