KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah memaklumkan penutupan berfasa sementara akan dilaksanakan di Jalan Tuaran, Kilometer 19.44 bermula 6 hingga 9 Mei ini bagi memberi laluan kepada kerja pembinaan jejantas pejalan kaki di kawasan berkenaan.
Menurut notis awam yang dikeluarkan JKR Sabah hari ini, penutupan itu melibatkan laluan berhampiran Bandar Sierra dan akan dilaksanakan secara “stop and go” sepanjang tempoh pembinaan dijalankan.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif atau lencongan jalan yang disediakan selain mematuhi papan tanda keselamatan serta had laju sementara 30 kilometer sejam ketika melalui kawasan terbabit.
“Pengguna jalan raya juga diminta lebih berhati-hati semasa menggunakan laluan tersebut sepanjang tempoh kerja pembinaan dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.
JKR Sabah turut memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku sepanjang tempoh penutupan sementara tersebut.
