SANDAKAN: Dua individu dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Sesyen Sandakan selepas mengaku bersalah atas kesalahan mencuri elektrik melalui sambungan haram di kawasan setinggan Kampung Pangiran Galpam, di sini.
Tertuduh, Mohd Yunus Ali dan Jolma Hanafi didakwa mengikut Seksyen 61(3)(a) Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
Kes berkenaan menjadi kes pertama melibatkan kecurian elektrik di penempatan setinggan yang berjaya didakwa di mahkamah serta dijatuhkan hukuman di Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif Energy Commission of Sabah (ECoS), Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, kedua-dua kes berjaya dibawa ke mahkamah dalam tempoh hanya 14 hari selepas serbuan Operasi Bersepadu dijalankan pada 22 April lalu.
“Tindakan pantas membawa kes ke mahkamah dalam tempoh singkat mencerminkan komitmen ECoS bersama agensi penguat kuasa lain dalam membanteras kegiatan kecurian elektrik di Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Operasi bersepadu itu turut melibatkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) serta Sabah Electricity.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ECoS, Nureen Natasha Mohd Raffie.
Menurut Abdul Nasser, operasi bersepadu akan terus dipergiat khususnya di kawasan setinggan bagi memastikan keselamatan awam dan integriti sistem bekalan elektrik sentiasa terpelihara.
Beliau berkata, satu lagi kes melibatkan sambungan elektrik haram di kawasan setinggan masih dalam proses perbicaraan manakala tiga lagi kes sedang melengkapkan kertas siasatan.
Selain sambungan haram, ECoS bersama Sabah Electricity turut memperhebat operasi membanteras kegiatan usikan meter elektrik di premis pengguna.
“Sejak ECoS mengambil alih kuasa kawal selia elektrik pada 2024, sebanyak 31 kes usikan meter telah didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman, manakala 21 kes lagi dikenakan kompaun,” katanya.
