KOTA KINABALU: Beberapa kawasan di negeri Sabah dijangka mengalami cuaca buruk melibatkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga jam 11 malam ini, menurut amaran terkini Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Kawasan terlibat termasuk Pedalaman (Nabawan), Tawau (Tawau, Kunak dan Semporna) serta Sandakan (Tongod, Kinabatangan dan Sandakan).
Penduduk di kawasan terbabit dinasihatkan untuk berwaspada terhadap kemungkinan berlaku banjir kilat, pokok tumbang serta gangguan kepada aktiviti harian, khususnya di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
METMalaysia dalam kenyataannya yang dikeluarkan pada jam 8.45 malam memaklumkan, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi tempoh sejam.
Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.
Orang ramai disaran memantau perkembangan semasa melalui laman web rasmi, media sosial METMalaysia serta aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat dan nasihat terkini berhubung keadaan cuaca di negeri ini.
