LAHAD DATU: Tindakan tegas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah membuahkan hasil apabila tujuh individu termasuk seorang wanita diberkas dan sejumlah 56.85 gram dadah jenis syabu dirampas dalam dua serbuan berasingan sekitar daerah ini di bawah Operasi Tapis.
Menurut kenyataan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Lahad Datu, serbuan pertama dilakukan di Kampung Tulibas Kecil, Tungku melibatkan penahanan empat lelaki warga tempatan dan asing berumur antara 35 hingga 51 tahun.
“Pemeriksaan mendapati mereka memiliki 51.50 gram syabu, dua buah motosikal turut disita, bersama wang tunai berjumlah RM520.
Hasil saringan awal air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta minimum 15 sebatan, selain Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 kerana penyalahgunaan dadah,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Serbuan kedua dijalankan di kawasan Felda Sahabat 01, menyaksikan penahanan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 26 hingga 37 tahun.
Polis menemukan 5.35 gram syabu yang disembunyikan dalam kotak rokok dan dua suspek lelaki didapati positif dadah, manakala wanita tersebut negatif.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta sebatan 3 hingga 9 kali, dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Kesemua suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut.
PDRM dalam kenyataannya menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras jenayah narkotik dan menyeru orang awam agar menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan dadah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
