KENINGAU, 18 Sept – Seorang kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang dikhuatiri hanyut ketika cuba menyeberangi jambatan semasa banjir di Kampung Nuntunan Apin-apin, akhirnya ditemui meninggal dunia pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Mangsa, Masdeh Rosmin berusia 35 tahun sebelum ini dilaporkan bersama dua rakan sekerjanya ketika insiden pada 16 September lalu. Dua mangsa lain, masing-masing berusia 24 dan 38 tahun, berjaya menyelamatkan diri.
Menurut Komander Operasi, usaha pencarian membabitkan pasukan Bomba, Polis, agensi penyelamat lain serta bantuan unit dron digerakkan dengan radius pencarian sejauh 40 kilometer di sepanjang Sungai Pagalan.
Petunjuk penting ditemui apabila kasut dipercayai milik mangsa dijumpai di sekitar Kampung Linsudan, kira-kira 21 kilometer dari lokasi insiden.
Pada jam 6.18 petang tadi, pasukan Galen Star berjaya menemui mayat mangsa di Sungai Kampung Liau Laut sebelum diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan lanjut.
Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) turut dipindahkan beberapa kali sepanjang operasi bagi menyelaras pencarian.
