PITAS: Impian seorang ibu tunggal untuk memiliki semula tempat berteduh selepas tragedi kebakaran yang meragut nyawa suami, anak perempuan dan bapa saudaranya tahun lalu akhirnya tercapai apabila beliau menerima kunci rumah baharu yang dibina hasil sumbangan pelbagai pihak.
Afnah Tundan, 51, dari Kampung Taka, yang kehilangan rumah dalam kebakaran Ogos lalu, kini memiliki sebuah rumah baharu berkeluasan 500 kaki persegi yang dibina bersebelahan tapak kediaman asalnya.
Pembinaan rumah itu merupakan hasil inisiatif Yayasan Kebajikan Negeri Sabah (YKNS) dengan peruntukan RM30,000, manakala selebihnya ditanggung oleh individu-individu prihatin sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR). Majlis penyerahan kunci disempurnakan oleh Timbalan Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Pitas, Datuk Harun Ismail.
Afnah, yang merupakan suri rumah kepada tiga anak, menyifatkan bantuan itu sebagai rahmat besar dari Allah SWT.
“Saya tidak bekerja dan hanya bergantung kepada dua anak perempuan yang sudah bekerja untuk menyara kehidupan kami. Selepas kebakaran, saya terpaksa menumpang di rumah keluarga. Syukur doa saya dimakbulkan apabila rumah ini siap,” katanya dengan penuh syukur.
Rumah baharu itu dilengkapi dua bilik tidur, dapur, tandas serta bekalan elektrik dan air, sekaligus memberikan harapan baharu buat Afnah sekeluarga.
Dalam pada itu, Datuk Harun, yang juga Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Minyak dan Gas Sabah (SOGDC), turut mengumumkan pembinaan sebuah asrama transit baharu di SK Bawing, Pitas yang bakal dimulakan dalam tempoh dua minggu.
Asrama yang bakal menelan kos RM100,000 itu akan menggantikan rumah transit lama yang uzur dan tidak selamat untuk didiami pelajar. Ia bakal dilengkapi dengan katil bertingkat, tandas dan bilik mandi, serta kemudahan asas lain bagi memberi keselesaan kepada murid-murid.
Menurut beliau, Pertubuhan Dusun Islam Sabah (PDIS) sebelum ini turut membina asrama serupa di Kampung Mendurian dan menanggung sepenuhnya kos makan minum pelajar yang menetap di situ.
