KOTA KINABALU: Pasar Besar Kraftangan Kota Kinabalu atau lebih dikenali ‘Pasar Filipina’ kini ditukar nama atau dijenamakan semula sebagai Anjung Kinabalu.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, penjenamaan itu diambil sebagai kesinambungan kepada nama permulaan Anjung iaitu sebuah lokasi yang terletak di pesisir laut atau pantai.
Jelasnya lagi, nama Kinabalu juga diambil sebagai identiti kepada unsur yang ada di negeri ini.
“Kita mengambil nama ini sebagai kesinambungan kawasan sedia ada seperti Anjung Senja, Anjung Selera dan sebagainya.
“Nama Kinabalu diambil adalah seiring dengan unsur yang ada di Sabah iaitu Gunung Kinabalu yang turut dikenali oleh semua rakyat di negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Harum Kinabalu ‘Cintai Bandaraya Kita’ di Pasar Kraftangan Kota Kinabalu di sini pagi tadi.
Penjenamaan pasar itu diumumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong ketika merasmikan program itu.
Tambah Sabin, penjenamaan itu juga adalah bagi membolehkan para pengunjung dan pelancong datang ke negeri ini khususnya ibu negeri dapat mengenali kawasan berkenaan.
“Jadi ini akan memudahkan lagi pelancong apabila mereka datang ke Kota Kinabalu untuk mengenali suatu tempat apabila kita menamakan Anjung Kinabalu, orang sudah tahu dimana.
“Kita tidak mahu memperkenalkan satu nama yang tidak mempunyai identiti negeri Sabah,” katanya.
Anjung Kinabalu itu dibahagikan kepada lima blok bangunan yang akan menjual pelbagai produk termasuklah pasar malam; pasar kraftangan; pasar sinsuran; pasar buah dan pasar ikan masin.
Antara nama blok berkenaan adalah D’Walai Suri; D’Walai Mutiara; D’Walai Cincin; D’Walai Haruman dan D’Walai Matabiru.