
TELUPID: Seorang bayi lelaki berusia dua bulan dan seorang wanita dilaporkan meninggal dunia selepas kereta jenis Proton Saga FLX dinaiki hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan dalam satu kejadian kemalangan di hadapan Klinik Kesihatan Telupid awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Beluran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.28 pagi.
Susulan itu katanya, seramai enam anggota dari BBP Beluran diketuai PBK I KUP Rahmat Rudat bersama agensi PDRM telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 100 kilometer dan tiba pada jam 8.05 pagi.
“Lapor kemalangan melibatkan sebuah kenderaan Proton Saga FLX hilang kawalan lalu terbabas di bahu jalan.
“Terdapat tujuh orang mangsa terlibat termasuk empat orang mangsa dewasa, dua kanak-kanak dan satu bayi).
“Enam orang mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi .
“Manakala seorang mangsa tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut menaiki kenderaan PDRM,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Setelah memastikan tiada bahaya lain wujud di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 8.30 pagi.