
Gambar Hiasan
JOHOR BAHRU: Seorang bayi perempuan berusia satu tahun maut apabila dirempuh kereta bapanya yang mahu mengalihkan kenderaan dari garaj kereta.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian pada pukul 2.30 petang semalam dikatakan berlaku apabila bapa kepada mangsa hendak mengalihkan keretanya ke luar rumah secara tiba-tiba terdengar bunyi dari arah belakang tayar sebelah kiri.
Bapa kepada kanak-kanak malang itu berusia 27 tahun.
“Apabila turun dari kenderaan pemandu tersebut mendapati anaknya berada di belakang keretanya dalam keadaan berdarah dan tidak sedarkan diri.
“Pemandu kemudiannya terus membawa anak perempuannya ke Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan.
“Akibat daripada perlanggaran itu, kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Ahad.
Sohaimi berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Awani