KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 ogos ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.
“Saya mengesahkan bahawa kerajaan memutuskan tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat baru apabila ia tamat pada 1 Ogos 2021.
“Kerajaan sudah menarik balik semua ordinan darurat berkenaan pada 21 Julai lalu. Pembatalan ini menjadikan isu Proklamasi dan Ordinan Darurat tidak lagi berbangkit,” katanya pada hari pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan beberapa ordinan sepanjang tempoh Proklamasi Darurat antaranya Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu); Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021.
Selain itu, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021, turut dilaksana dalam usaha menbendung penularan COVID-19.
Pengumuman mengenai pembatalan ordinan berkaitan darurat berkenaan mendatangkan bantahan daripada pihak pembangkang, yang menuntut agar Takiyuddin menjelaskan bilakah peraturan itu dibatalkan dan mekanisme pembatalan itu dibuat.
Sebilangan anggota parlimen pembangkang mengatakan peraturan darurat harus dibatalkan melalui Parlimen sebagaimana yang dikehendaki oleh Fasal 150 (3).
Setakat jam 11.45 pagi hari ini, tidak ada warta baru yang dikeluarkan di laman web Jabatan Peguam Negara mengenai pembatalan peraturan tersebut.
Setelah banyak tunjuk perasaan ahli parlimen pembangkang, Takiyuddin mengatakan keputusan telah dibuat pada 21 Julai lalu, iaitu mesyuarat Kabinet terakhir.
Mengulas lanjut, Takuyiddin menjelaskan, Yang di-Pertuan Agong juga sudah memberi perkenan kepada sidang khas Dewan Rakyat kali ini, yang berlangsung pada 26, 27, 28 dan 29 Julai serta 2 Ogos manakala persidangan Dewan Negara ditetapkan pada 3 hingga 5 Ogos.
“Dalam surat ini (kepada kerajaan), titah Yang di-Pertuan Agong memberi maklum sudah perkenan untuk kerajaan adakan sidang khas pada 26 Julai (hari ini),” katanya.
Sidang khas Parlimen sebelum ini pernah diadakan antaranya berkenaan isu Gaza pada 12 Januari 2009, isu MH17 pada 23 Julai 2014 dan Isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada 26 dan 27 Januari 2016.
Sumber: BERITA HARIAN