PUTRAJAYA: YAB Tan Sri Dato’Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yasin, Perdana Menteri, hari ini memaklumkan bahawa proses pemberian Bantuan Khas Covid-19 atau BKC akan dilaksanakan bermula Ogos tahun ini.
Perdana Menteri berkata, bagi memastikan rakyat mendapat bantuan pada bulan-bulan mendatang sehingga akhir tahun 2021, sukacita saya umumkan, pemberian Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dengan kadar dan kategori yang ditetapkan.
“Kadar dan kategori yang dinyatakan adalah seperti berikut;
- Pertama, isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan sebanyak 500 ringgit pada bulan Ogos, 500 ringgit pada bulan November, dan 300 ringgit pada bulan Disember. Manakala individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak 200 ringgit pada bulan Ogos dan 300 ringgit pada bulan November;
- Kedua, isi rumah kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak 500 ringgit pada bulan Ogos dan 300 ringgit pada bulan Disember. Manakala bujang kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak 200 ringgit pada bulan Ogos; dan
- Ketiga, isi rumah kategori M40 turut menikmati bantuan sebanyak 250 ringgit, manakala bujang kategori M40 akan menerima 100 ringgit pada bulan Ogos nanti.
- Secara keseluruhan, pemberian khas BKC ini dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak 4.6 bilion ringgit.”
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulian Ekonomi (PEMULIH) pada petang tadi.