KOTA KINABALU: Tindakan seorang individu yang didakwa mengumumkan kematiannya sendiri di Facebook sebelum akaun sama kembali aktif mempromosikan jualan e-book mencetuskan kemarahan netizen yang menyifatkan perbuatan itu sebagai keterlaluan dan mempermainkan emosi masyarakat.
Kontroversi itu tercetus selepas beberapa hantaran di Facebook memaklumkan kononnya pemilik akaun berkenaan meninggal dunia pada pagi 1 Ogos, malah memohon orang ramai mendoakan arwah serta memaklumkan akaun tersebut akan ditutup dalam tempoh 24 jam atas permintaan keluarga.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian akaun sama didakwa kembali aktif memuat naik hantaran baharu termasuk promosi jualan e-book, sekali gus mengundang pelbagai persoalan dan kecaman daripada pengguna media sosial.
Seorang aktivis pengguna, Hashima Hasbullah berkata, sekiranya dakwaan itu benar, tindakan menggunakan berita kematian untuk meraih simpati dan keuntungan adalah sesuatu yang amat melampau.
“Ramai orang benar-benar bersedih, membaca Al-Fatihah, mendoakan arwah, malah ada yang membeli e-book sebagai tanda sokongan terakhir. Jika semua itu hanyalah lakonan, maka anda bukan sahaja menipu manusia, malah mempermainkan emosi ribuan orang dan perkara yang sangat besar dalam agama,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu mudah percaya terhadap sebarang rayuan atau dakwaan yang tular di media sosial tanpa membuat semakan terlebih dahulu.
Menurutnya, masyarakat perlu mengamalkan due diligence sebelum menyalurkan sumbangan atau membuat pembelian atas dasar simpati kerana sikap mudah percaya hanya akan membuka ruang kepada penipuan terus berleluasa.
Terdahulu, seorang lagi pengguna Facebook menggunakan nama Teyni Utar turut mendakwa individu terbabit masih hidup dan menyifatkan pengumuman kematian itu sebagai cubaan meraih simpati orang ramai bagi melariskan jualan e-book.

Hantaran berkenaan turut disertakan beberapa tangkap layar yang menunjukkan pengumuman kematian, diikuti hantaran promosi jualan e-book daripada akaun yang sama.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung kesahihan dakwaan tersebut, termasuk sama ada sebarang siasatan telah dibuka.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang kesimpulan berdasarkan dakwaan yang tular di media sosial serta sentiasa menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi, membuat sumbangan atau melakukan sebarang transaksi.
