TAWAU: Polis berjaya menahan tiga remaja lelaki kurang 24 jam selepas menerima laporan berhubung kes rogol membabitkan seorang pelajar perempuan di Merotai, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 15 hingga 16 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai di perkarangan Pondok Polis Merotai kira-kira jam 6.50 petang semalam.
Menurutnya, tangkapan dilakukan dalam tempoh singkat susulan laporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa pada jam 4.43 petang hari sama.
“Kejadian terbongkar selepas mangsa, seorang pelajar tingkatan tiga, menceritakan insiden tersebut kepada guru kaunseling sekolah sebelum dimaklumkan kepada ibunya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jasmin berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada Ahad lalu apabila mangsa dibawa oleh seorang suspek yang juga pelajar tingkatan lima menaiki sebuah kereta ke sebuah rumah sebelum dipercayai dirogol.
Tambahnya, dua lagi rakan suspek turut ditahan kerana dipercayai bersubahat dalam kejadian tersebut.
“Mangsa turut mendakwa dia dimalukan serta diejek dengan kata-kata tidak senonoh oleh rakan-rakan suspek di sekolah setiap hari,” katanya.
Beliau menegaskan, kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis memandang serius penglibatan mana-mana individu yang bersubahat dalam jenayah seksual dan tidak akan berkompromi dengan perbuatan keji tersebut,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan serta pergaulan anak-anak, khususnya di luar waktu persekolahan.
“Ibu bapa perlu peka dengan perubahan tingkah laku anak-anak dan mengetahui dengan siapa mereka berkawan. Kerjasama erat antara pihak sekolah dan masyarakat amat penting bagi membendung gejala sosial dalam kalangan remaja sebelum ia menjadi lebih parah,” katanya.
