PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan selepas ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah jenis ganja dalam satu operasi khas Op Tapis di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton berkata, suspek ditahan dalam serbuan yang dijalankan sekitar petang kelmarin di Jalan Pantai Berahi, Putatan hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek telah membawa kepada penemuan enam paket plastik lutsinar mengandungi ketulan mampat daun kering yang disyaki ganja dengan anggaran berat keseluruhan 641.82 gram.
“Kesemua rampasan dianggarkan bernilai sekitar RM1,890 dan dipercayai untuk tujuan pengedaran di kawasan sekitar,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup (tidak kurang 30 tahun) serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
Sammy menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
“Usaha membanteras jenayah dadah akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat sentiasa terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai agar terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah, khususnya pengedaran dadah, bagi membolehkan tindakan segera diambil.
