Kota Kinabalu: Dua pelancong warga China cedera selepas dilanggar sebuah kereta ketika sedang mengambil gambar di tepi jalan berhampiran Masjid Bandaraya, Jalan Pasir, Likas, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kejadian berlaku sekitar jam 4.04 petang apabila sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandu oleh seorang wanita tempatan hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh kedua-dua pelancong terbabit.
“Akibat pelanggaran itu, seorang mangsa mengalami kecederaan pada telinga, pipi, tangan dan kaki, manakala seorang lagi mangsa cedera ringan.
“Kedua-dua mereka telah dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I untuk menerima rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Katanya lagi, pemandu kereta tersebut telah dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kota Kinabalu di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.
Polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan trafik bagi mengelakkan kemalangan serta kejadian tidak diingini, khususnya di kawasan tumpuan pelancong.
