Kota Kinabalu: Pejabat Media dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri (JKM) Sabah memaklumkan bahawa jemputan untuk sidang media berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan hanya disalurkan secara rasmi kepada pihak media melalui edaran “Note to Editor” apabila tiba masanya.
Menurut kenyataan itu, pendekatan ini diambil bagi memastikan semua agensi media menerima maklumat tepat dan seragam mengenai tarikh serta butiran sidang media yang akan disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Jemputan untuk sidang media oleh Ketua Menteri akan dimaklumkan melalui Note to Editor apabila tiba masanya,” jelas kenyataan ringkas itu di sini, hari ini.
Langkah ini juga bertujuan mengelakkan kekeliruan susulan peningkatan pertanyaan daripada pelbagai pihak media berhubung tarikh sebenar pembubaran DUN Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Pejabat Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan atas kerjasama semua wakil media dalam menunggu pengumuman rasmi dan memastikan penyebaran maklumat yang sahih kepada orang ramai.
