Kota Kinabalu: Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menegaskan bahawa sebarang cubaan untuk menghapuskan Barisan Nasional (BN) dari Sabah hanyalah angan-angan segelintir pihak yang takut akan kekuatan gabungan politik itu.
Beliau berkata, ironi apabila ada pemimpin tertentu yang pernah membesar dalam BN, naik kerana BN, namun kini mahu memadamkan pengaruh parti tersebut di Sabah.
“Mereka berbuat demikian kerana BN masih menjadi saingan utama. Dengan melemahkan BN, mereka berharap parti mereka akan naik. Tetapi hakikatnya BN sudah lama bertapak di Sabah, melalui banyak gelombang politik, dan tetap bertahan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan menegaskan, kekuatan BN terletak pada bahagian, cawangan dan penyokong tegar yang wujud di seluruh negeri, berbanding parti baharu yang belum tentu bertahan lama.
Katanya, sejarah politik di Sabah membuktikan banyak parti tempatan akhirnya hilang pengaruh kerana perjuangan mereka tidak berterusan.
“PRN 2020 membuktikan BN masih relevan apabila berjaya memenangi 14 kerusi DUN meskipun selepas gelombang politik 2018. Ini menunjukkan rakyat masih merindui BN,” ujarnya.
Menurut beliau, BN sebagai parti tidak bersalah, sebaliknya kelemahan yang berlaku datang daripada segelintir pemimpin.
BN sendiri, katanya, sudah berbudi dan terbukti memberi khidmat terbaik kepada rakyat sejak sekian lama.
Salleh turut menekankan bahawa menyertai BN tidak bermakna rakyat Sabah hilang jati diri.
“Kita tetap orang Sabah, kad pengenalan kita ada huruf ‘H’, dan perjuangan kita tetap untuk rakyat Sabah No. 1,” tegasnya.
Beliau berkata, generasi muda perlu memahami dan meneruskan perjuangan ini supaya ‘DNA BN’ sentiasa hidup dalam arena politik negeri.
“Kesimpulannya, cubaan menghapuskan BN hanyalah angan-angan. BN tidak akan hilang dari bumi Sabah. Penyokong setia akan tetap bersama, dan BN akan terus menjadi sebahagian daripada sejarah serta masa depan politik negeri ini,” katanya.
