KOTA BHARU: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memantau secara dekat kandungan di media sosial yang mempertikaikan prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir bagi memastikan ia tidak berunsur menghina mahkamah.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, menegaskan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang ulasan terburu-buru sebelum prosiding selesai.
“Kita akan meneliti kandungan di TikTok atau media sosial lain mengenai perkara ini sebelum tindakan susulan diambil. Harapan kami, biarlah proses inkues berjalan hingga selesai, jangan gopoh memberi komen,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Infrastruktur Awam Program Kampung Angkat Madani Jabatan Peguam Negara 2025, di sini, hari ini.
Prosiding inkues Zara Qairina bermula 3 September di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, dikendalikan Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan selaku Koroner.
Inkues dijadual berlangsung selama 19 hari, iaitu pada 3-4 September, 8-12 September, 17-19 September serta 22 hingga 30 September.
Mengulas lanjut, Mohd Dusuki berkata, prosiding akan diteruskan mengikut jadual tanpa sebarang pemendekan tempoh.
“Alhamdulillah, setakat ini prosiding berjalan lancar. Kita mahu ia diselesaikan dengan sempurna supaya tidak timbul polemik yang boleh mencetuskan persepsi negatif,” katanya.
