Foto: PDRM Kota Kinabalu
Kota Kinabalu: Polis Sabah menawarkan potongan sebanyak 50 peratus bagi bayaran saman trafik terpilih selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Ogos 2025 sempena sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Hari Malaysia.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Polis Sabah memaklumkan pembayaran saman hanya boleh dibuat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah serta seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini.
“Kaunter bayaran akan dibuka mulai jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Polis Sabah menjelaskan bahawa tawaran diskaun itu tidak terpakai bagi beberapa kategori saman, termasuk saman kemalangan, saman berstatus Op Selamat, saman tidak boleh kompaun (NC), saman yang memerlukan bicara mahkamah, serta saman melibatkan kenderaan berat atau lori.
Turut dikecualikan ialah saman kesalahan memotong secara berbahaya atau memotong Q, menggunakan lorong kecemasan, tidak mematuhi lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar, serta kesalahan pengubahsuaian ekzos kenderaan.
Polis Sabah menegaskan, inisiatif ini bertujuan memberi peluang kepada orang ramai untuk menyelesaikan tunggakan saman dengan kadar lebih rendah, selain meningkatkan kesedaran dan disiplin pengguna jalan raya dalam mematuhi undang-undang trafik.
