Kota Kinabalu: Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Kapayan hari ini melaksanakan program pengagihan percuma Bendera Sabah kepada penduduk sekitar Kapayan. Program ini dianjurkan bersama oleh sayap-sayap Gagasan Rakyat Bahagian Kapayan sebagai usaha menyemarakkan semangat cinta kepada negeri dan negara menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kapayan, Datuk Dr. Stephen Jimbangan, ketika ditemui menegaskan bahawa tujuan utama program ini adalah untuk meneruskan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda, agar bendera negeri terus dikibarkan dengan penuh kebanggaan.
“Bendera bukan sekadar kain yang berwarna-warni, tetapi simbol perpaduan, kedaulatan, dan identiti kita sebagai rakyat Malaysia dan anak negeri Sabah. Dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah, kita menzahirkan rasa hormat, cinta, dan kesetiaan kepada negeri serta tanah air,” katanya.
Mengulas mengenai isu baru-baru ini berhubung insiden bendera yang dikibarkan secara terbalik dan telah dipolitikkan oleh pihak tertentu, Datuk Dr. Stephen menyeru agar semua pihak menghentikan tindakan memanipulasi perkara kecil sehingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat untuk mengibarkan bendera.
“Kesilapan teknikal tidak wajar dijadikan modal politik. Apa yang lebih penting adalah semangat rakyat untuk mengibarkan bendera dengan bangga dan ikhlas. Jangan kerana isu kecil, semangat patriotik rakyat kita luntur,” tambah beliau.
Gagasan Rakyat Kapayan percaya bahawa usaha bersama semua pihak adalah kunci untuk mengekalkan semangat kebangsaan, sekaligus mengukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum di Sabah.
