KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menyambut baik kenyataan terkini Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengeluarkan arahan lanjut berkaitan siasatan kes kematian pelajar berusia 13 tahun, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Hajiji berkata, kes ini bukan sahaja menyentuh perasaan rakyat di Sabah, malah turut menarik perhatian luas di seluruh negara termasuk dari negara jiran.
“Ini jelas menunjukkan bahawa keadilan untuk adik Zara adalah tuntutan bersama yang merentasi sempadan dan perbezaan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi beliau, pada Jumaat.
Beliau menegaskan keyakinan penuh kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan secara telus dan menyeluruh bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan buat Allahyarhamah Zara dan keluarganya.
Dalam masa sama, Hajiji menyeru semua pihak supaya terus bertenang, tidak terpengaruh dengan spekulasi, serta memberi ruang dan kepercayaan kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Keutamaan kita adalah memastikan kebenaran terbongkar dan keadilan ditegakkan melalui saluran yang betul,” tegas beliau.
Zara dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang di kawasan asrama Sekolah Menengah Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.
Tiada autopsi dijalankan sebelum pengebumian, menyebabkan keluarga kini menuntut keadilan melalui proses kehakiman yang sah.
