KOTA KINABALU: Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Karunanithy Subbiah, menamatkan perkhidmatannya di negeri ini selepas lebih lima tahun berkhidmat.
Kini beliau akan meneruskan tugas sebagai Pengarah SPRM Pulau Pinang bermula minggu ini.Sebagai menghargai khidmat bakti beliau di Sabah sejak Mac 2019, Karunanithy telah mengadakan kunjungan perpisahan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu hari ini.
Dalam pertemuan tersebut, Ketua Menteri menzahirkan ucapan terima kasih atas sumbangan dan komitmen Karunanithy dalam memperkukuh usaha pencegahan rasuah serta integriti dalam pentadbiran negeri sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Kerajaan Negeri menghargai kerjasama erat yang telah terjalin antara SPRM Sabah dan agensi kerajaan negeri.
Kami doakan Datuk Karunanithy terus cemerlang dalam tugas baharu beliau di Pulau Pinang,” ujar Hajiji.
Tempat beliau akan digantikan oleh Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, yang akan memulakan tugas sebagai Pengarah SPRM Sabah tidak lama lagi.
