KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes kematian pelajar sekolah agama, Zara Qairina Mahathir, 13, kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail ketika dihubungi TV3 hari ini.
“Sudah submitted tadi (hari ini),” katanya ringkas melalui mesej WhatsApp.
Zara Qairina dilaporkan meninggal dunia pada 16 Julai lalu dalam keadaan mencurigakan selepas dikaitkan dengan dakwaan buli di sekolah agama di Papar. Kes ini mencetuskan perhatian ramai selepas ibu mangsa tampil membuat laporan polis tambahan semalam.
Menurut laporan, si ibu tampil semula membuat laporan di Balai Polis Sipitang, selepas kembali teringat kejadian semasa memandikan jenazah anaknya di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai.
Beliau mendakwa terlihat kesan lebam pada bahagian belakang tubuh anaknya, sekali gus menguatkan syak bahawa terdapat unsur penderaan atau kecederaan sebelum kematian.
Kematian Zara telah menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat berkaitan keselamatan pelajar di institusi pendidikan berasrama, khususnya sekolah agama. Desakan demi desakan telah disuarakan agar siasatan dilakukan secara menyeluruh dan telus demi keadilan kepada keluarga mangsa.
Penyerahan kertas siasatan kepada AGC hari ini membuka lembaran baharu dalam proses keadilan kes ini. Tumpuan kini terarah kepada tindakan lanjut pihak pendakwaan, sama ada akan dilakukan pendakwaan atau memerlukan siasatan tambahan.
