KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) secara rasmi melantik Saadiah Aziz sebagai Pengerusi baharu syarikat itu, berkuat kuasa serta-merta mulai 31 Julai 2025.
Dengan pengalaman lebih dua dekad dalam pelbagai bidang termasuk pengurusan projek, pembangunan perniagaan, analisis kewangan dan libat urus strategik, Saadiah membawa kepimpinan yang luas dari sektor awam dan swasta.
“Pelantikan ini amat signifikan buat SE. Saadiah bukan sahaja memiliki pengalaman yang luas, tetapi juga rekod pencapaian dalam transformasi korporat dan pembangunan ekonomi negara,” menurut kenyataan rasmi SE pada Ahad.
Antara pencapaian utama beliau ialah penglibatan aktif dalam Program Transformasi GLC, di samping pernah menyandang jawatan Naib Presiden Kanan di Khazanah Nasional Berhad. Beliau juga pernah berkhidmat di Labuan Offshore Financial Services Authority serta Malaysian Rating Corporation Berhad.
Saadiah merupakan penerima biasiswa British Chevening dan Khazanah Global Scholar, serta memiliki kelulusan dari institusi terkemuka antarabangsa seperti University College London (UCL) dan Glasgow Caledonian University.
Beliau turut melengkapkan latihan kepimpinan di London Business School.
SE yakin pelantikan Saadiah akan memperkukuh hala tuju strategik syarikat, khususnya dalam memastikan kecekapan operasi dan memperluas impak sosial kepada komuniti di Sabah.
“Dengan kepimpinan baharu ini, SE komited untuk terus memperkasa sistem tenaga negeri dan memastikan akses bekalan elektrik yang mapan kepada semua rakyat,” tambah kenyataan itu.
