KOTA KINABALU: Sabah Electricity (SE) sepatutnya lebih bersedia menghadapi gangguan bekalan elektrik berskala besar, termasuk menyediakan pelan kecemasan yang menyeluruh, lebih-lebih lagi selepas kenaikan kadar tarif elektrik.
Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Tan Sri Liew Yun Fah berkata, sebagai syarikat yang sudah lama beroperasi, SE seharusnya mempunyai persediaan rapi bagi menghadapi sebarang kejadian luar jangka.
Katanya, gangguan bekalan elektrik yang melanda Pantai Timur Sabah memberi kesan besar kepada pengguna, khususnya peniaga yang berdepan kesukaran menjalankan perniagaan.
Liew yang juga Pengerusi GRS Zon Enam menggesa SE memastikan kemudahan bekalan elektrik sokongan tersedia bagi menghadapi situasi kecemasan.
Beliau turut mencadangkan penyediaan loji janakuasa sebagai sumber bekalan alternatif sekiranya berlaku kerosakan sistem penghantaran elektrik atau bencana.
Menurutnya, pelan kecemasan sepatutnya dirancang sejak awal bagi mengelakkan pengguna terus terputus bekalan elektrik sepanjang kerja pemulihan dilaksanakan.
Terdahulu, SE mengesahkan gangguan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah susulan insiden pada sistem penghantaran elektrik pada jam 6.04 pagi tadi.
