KOTA KINABALU: Kawalan kemasukan dadah ke Sabah menerusi laluan udara, laut dan darat perlu diperketatkan bagi mengelakkan negeri ini menjadi hab transit penyeludupan dadah antarabangsa.
Pengerusi Skuad Antidadah Sabah, Datuk Mazlan @ Joehari Manan berkata, pendedahan mengenai kegiatan penyeludupan tiga tan syabu menerusi pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Labuan dan Tawau sejak 2024 amat membimbangkan.
“Kita tidak mahu Sabah menjadi lubuk pengedaran dadah, apatah lagi menjadi hab transit penyeludupan dadah antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kegiatan penyeludupan dadah yang disyaki melibatkan pegawai dan anggota TUDM dengan menggunakan aset ketenteraan bukan sekadar isu jenayah dadah, malah membabitkan persoalan integriti, pengkhianatan amanah dan keselamatan negara sekiranya dakwaan itu terbukti.
“Bagaimana kita mahu membendung kemasukan dadah sekiranya mereka yang diamanahkan menjaga keselamatan negara sendiri menjadi sebahagian daripada rangkaian penyeludupan dadah?” katanya.
Sehubungan itu, Mazlan menggesa siasatan menyeluruh dilaksanakan tanpa mengira pangkat, kedudukan dan jawatan, selain membongkar keseluruhan rangkaian sindiket termasuk dalang serta pembiayanya.
Beliau turut menggesa kawalan keselamatan, integriti dan pemantauan dalaman aset ketenteraan diperkasakan serta hukuman setimpal dikenakan terhadap individu yang terbukti bersalah.
“Dadah tidak mengenal pangkat, tetapi undang-undang juga tidak seharusnya mengenal pangkat.
“Tiada kompromi terhadap dadah. Tiada kompromi terhadap pengkhianatan amanah,” tegasnya.
Bagaimanapun, Mazlan mengingatkan agar keseluruhan institusi TUDM tidak dipersalahkan atas perbuatan segelintir individu, sebaliknya pengorbanan anggota tentera yang berkhidmat dengan penuh amanah dan integriti perlu terus dihormati.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak tentera atas kerjasama membongkar kegiatan sindiket berkenaan.
