KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah membelanjakan RM254 juta dalam tempoh lima tahun bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif bantuan pendidikan yang memberi manfaat kepada 141,635 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan 277,124 pelajar sekolah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, peruntukan berkenaan turut memberi manfaat kepada 1,537 sekolah termasuk sekolah agama, 67 persatuan pelajar IPT Sabah serta membolehkan 476 program pendidikan dilaksanakan.
Katanya, peruntukan besar itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasakan pendidikan dan pembangunan modal insan, selain memastikan ekosistem pendidikan Sabah sentiasa kondusif, inklusif dan berdaya saing.
“Kerajaan Negeri meletakkan pembangunan modal insan sebagai antara teras utama dalam pelan pembangunan Hala Tuju SMJ. Ini kerana pendidikan merupakan asas penting dalam membina masa depan sesebuah negeri dan negara.
“Pendidikan juga adalah kunci utama yang mampu mengubah nasib sesebuah keluarga, membasmi kemiskinan, dan seterusnya memacu kemajuan negeri Sabah ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Inisiatif Pendidikan Sabah Tahun 2026 di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri melaksanakan 14 inisiatif bantuan pendidikan, termasuk Bantuan Yuran Peperiksaan MUET (BAYU) bagi pelajar daripada golongan B40.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 13 inisiatif di bawah Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah dilaksanakan tahun ini dengan peruntukan RM87.5 juta dan akan diteruskan pada tahun hadapan,” katanya.
Antara inisiatif berkenaan ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI), Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) dan Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS).
Inisiatif lain termasuk Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA), Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA), Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS-SUBFLY), Sumbangan Mahasiswa Pendidikan Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA) dan Sumbangan Kegiatan Sekolah Secara One Off (SUKSES).
Dalam pada itu, Hajiji berkata, peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) turut meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM161 juta setakat 31 Oktober 2026, berbanding RM55 juta pada 2021.
Bantuan pendidikan turut disediakan menerusi Yayasan Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), yang boleh diakses melalui Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS).
Menurutnya, meskipun pendidikan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri terus mengambil pendekatan proaktif dengan menjalin kerjasama rapat bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Katanya, selaras dengan agenda ‘Sabah First’ dan Hala Tuju SMJ 2.0, kerajaan negeri komited memastikan semua anak Sabah mendapat akses pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang keluarga, kedudukan ekonomi atau tempat tinggal.
“Sehubungan itu, pelbagai inisiatif bantuan pendidikan dilaksanakan bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, khususnya melalui bantuan kewangan, biasiswa dan sokongan persekolahan supaya tiada anak tercicir hanya disebabkan kekangan kewangan,” katanya.
Hajiji menegaskan kerajaan negeri akan terus memperkukuh dan menambah baik inisiatif bantuan pendidikan bagi memastikan penyampaiannya lebih berkesan, telus serta sampai kepada kumpulan sasar.
Beliau turut menyeru jabatan kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa dan komuniti setempat supaya berganding bahu dalam melahirkan generasi muda yang mampu menyumbang kepada pembangunan Sabah dan negara.
