KUALA LUMPUR: Penyelarasan operasi keselamatan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) perlu terus diperkukuh bagi memastikan keselamatan perairan sekitar Pulau Ligitan dan Sipadan terpelihara.
Ahli Parlimen P.170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata peranan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam menyelaras operasi pelbagai agensi keselamatan amat penting, khususnya bagi memastikan rondaan dan tindak balas terhadap sebarang insiden di kawasan berkenaan berjalan lancar.
“Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini telah memutuskan bahawa Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan adalah milik Malaysia, manakala penetapan sempadan maritim di kawasan yang masih dipertikaikan dengan Indonesia terus ditangani melalui rundingan dua hala.
“Dalam keadaan rundingan sempadan masih diteruskan, aspek keselamatan perairan perlu diberikan perhatian bagi memastikan pemantauan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara berkesan,” katanya.
Madius yang juga Pengerusi POIC Sabah berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan sempena perbahasan di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau meminta MINDEF menjelaskan bagaimana penyelarasan antara ATM, PDRM dan Maritim Malaysia melalui ESSCOM dapat memastikan rondaan serta tindak balas terhadap insiden keselamatan di perairan sekitar Ligitan dan Sipadan berjalan lancar.
“Kerjasama antara agensi keselamatan amat penting bagi memastikan keberkesanan kawalan keselamatan di kawasan perairan strategik Sabah, khususnya ketika proses rundingan sempadan maritim Malaysia-Indonesia masih berjalan.
“Keselamatan perairan sekitar Ligitan dan Sipadan perlu terus diberikan perhatian bagi memastikan kepentingan dan kedaulatan Malaysia di kawasan berkenaan sentiasa terpelihara,” tambahnya.
