KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM164.01 juta bagi melaksanakan program pembangunan modal insan di Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pembangunan modal insan terus menjadi keutamaan kerajaan negeri sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa anak-anak watan Sabah ke arah mencapai kemajuan dan kecemerlangan.
“Pembangunan modal insan tetap diutamakan menjadi sebahagian daripada program pembangunan anak-anak watan negeri ini ke arah mencapai kemajuan dan kecemerlangan.
“Bidang kemahiran dan pembangunan belia akan diperkasa melalui peluasan biasiswa dan bantuan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah, Datuk James Ratib, sempena majlis perasmian Program Latihan Guru-Guru untuk Pertandingan Robotik SMJ di SJKC Lok Yuk, di sini hari ini.
Menurut Hajiji, antara bidang yang diberi keutamaan termasuk pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pengukuhan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selain latihan dalam sektor pertanian dan teknologi digital dengan penekanan terhadap literasi kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti secara lebih inklusif, khususnya program yang mengangkat STEM dan inovasi sebagai budaya pembelajaran di sekolah.
“Kita mahu memastikan program seperti ini berjalan dengan teratur dan kemas melalui kerjasama rapat antara pihak pendidikan, sekolah, komuniti serta rakan strategik supaya para guru mendapat sokongan sewajarnya dan murid dapat menikmati pengalaman pembelajaran yang bermakna,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata latihan guru dalam program tersebut amat penting kerana ia membantu mempersiapkan murid memahami teknologi, membina keyakinan serta menghasilkan inovasi yang berguna apabila guru diperkasa dengan kemahiran dan peralatan yang sesuai.
Beliau berkata program robotik itu bukan sekadar memperkenalkan aktiviti tambahan kepada murid, sebaliknya dilaksanakan secara lebih tersusun melalui model pelaksanaan khusus di sekolah.
Menurutnya, pendekatan tersebut melibatkan penyediaan infrastruktur minimum, penggunaan kit robotik, platform pembelajaran serta latihan guru secara Train-the-Trainer bagi memastikan pelaksanaan program benar-benar berkesan.
Hajiji turut menjelaskan bahawa penggunaan kit robotik LEANBOT sebagai alat pembelajaran utama, selain integrasi latihan secara fizikal dan simulasi melalui Digital Twin, termasuk penggunaan aksesori seperti Field Track dan Field Model, mampu memberikan pengalaman pembelajaran secara praktikal kepada murid.
“Ia membantu murid belajar melalui pengalaman membina, menguji dan melakukan penambahbaikan sehingga mereka benar-benar memahami konsep secara mendalam, bukan sekadar menghafal teori,” katanya.
