KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) kini akan disusun semula mengikut sistem Parlimen selepas pindaan perlembagaan parti yang mengurangkan jumlah bahagian daripada 74 kepada 26 diluluskan sebulat suara pada Persidangan Agung Khas parti itu di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Ahad.
Presidennya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pindaan berkenaan akan dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebelum proses pengemaskinian struktur parti dilaksanakan.
“Alhamdulillah, syukur pindaan perlembagaan parti telah pun selesai dan diberi sokongan sebulat suara. Ini bererti pindaan kita daripada 74 bahagian kepada 26 telah diluluskan dan akan dikemukakan ke ROS untuk kelulusan.
“Jadi, kita akan membuat pengemaskinian struktur parti kita selepas ini menggunakan sistem Parlimen,” katanya pada sidang media selepas selesai persidangan berkenaan.
Hajiji yang juga Ketua Menteri memaklumkan, pindaan itu selari dengan persediaan parti menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang selain memperkemaskan jentera parti di setiap kawasan Parlimen.
“Selain daripada itu, kita juga dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi bersedia untuk menghadapi pilihan raya akan datang. Strategi parti kita juga adalah untuk mengemaskan jentera mengikut Parlimen.
“Kebetulan kita akan menghadapi Pilihan Raya Umum Parlimen, ini amat sesuai dengan pindaan yang kita buat ini,” katanya.
Hajiji turut memaklumkan bahawa usul pindaan perlembagaan itu mendapat sokongan penuh daripada semua sayap parti termasuk Wanita, Pemuda, Beliawanis dan kaum bapa.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, Gagasan Rakyat turut menerima kemasukan beramai-ramai ahli daripada Warisan di Keningau untuk menyertai perjuangan parti itu.
“Saya amat senang hati dan gembira kerana sempena Perhimpunan Agung Khas ini, kita juga menerima kemasukan beramai-ramai ahli daripada Warisan di bahagian Keningau untuk sama-sama berjuang dengan PGRS,” katanya.
Mengulas kemungkinan kerjasama politik menjelang pilihan raya akan datang, Hajiji berkata pihaknya terbuka kepada sebarang bentuk kerjasama yang memberi manfaat kepada negeri dan rakyat Sabah.
“Dalam politik semua kita mesti tengok seluas-luasnya. Kalau ia mendatangkan kebaikan kepada negeri dan perpaduan rakyat, apa salahnya.
“Matlamat perjuangan kita ialah untuk bersatu padu dan membangunkan negeri kita,” katanya.
