DUBAI: Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dilaporkan maut dalam satu serangan udara besar-besaran yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel di Tehran awal pagi Ahad, menurut pengesahan media rasmi Iran.
Media negara itu melaporkan Khamenei, 86, terbunuh selepas kompleks pejabatnya di pusat bandar Tehran menjadi sasaran pengeboman. Imej satelit yang dikeluarkan Airbus menunjukkan kawasan berkenaan mengalami kerosakan teruk akibat serangan tersebut.
Presiden AS, Donald Trump, sebelum itu mengumumkan kematian Khamenei menerusi media sosial dan menyifatkan insiden berkenaan sebagai peluang terbesar rakyat Iran untuk “mengambil kembali” negara mereka.
Trump turut memberi amaran bahawa operasi pengeboman bersasar akan diteruskan sepanjang minggu ini dan mungkin berlanjutan, dengan alasan bagi melumpuhkan keupayaan nuklear Iran.
Dalam pada itu, kerajaan Iran menyifatkan serangan berkenaan sebagai “jenayah besar” dan memberi amaran ia tidak akan dibiarkan tanpa tindak balas. Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) dilaporkan mengancam untuk melancarkan operasi serangan paling intensif menyasarkan pangkalan Israel dan AS.
Kematian Khamenei dijangka mewujudkan kekosongan kepimpinan dalam Republik Islam Iran memandangkan beliau mempunyai kuasa muktamad terhadap dasar utama negara sepanjang beberapa dekad pemerintahannya. Setakat ini, tiada pengganti jelas diumumkan.
Di Tehran, saksi memaklumkan terdapat penduduk yang meraikan berita tersebut, manakala di bandar Mashhad, bendera hitam dikibarkan di makam Imam Reza sebagai tanda berkabung. Kerajaan Iran turut mengisytiharkan tempoh berkabung selama 40 hari serta cuti umum selama tujuh hari di seluruh negara.
Agensi berita separa rasmi Fars yang mempunyai hubungan rapat dengan IRGC melaporkan beberapa anggota keluarga Khamenei turut terkorban, termasuk anak perempuan, menantu serta cucunya.
Perkembangan terbaharu ini membuka episod baharu campur tangan AS di Iran dan berpotensi mencetuskan ketegangan lebih luas di rantau Asia Barat. – asia.nikkei
