KUALA LUMPUR: Konflik peperangan antara Iran dan Israel dijangka memberi kesan terhadap aliran perdagangan global termasuk Malaysia, susulan gangguan terhadap pergerakan penerbangan dan rantaian logistik antarabangsa.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sebarang konflik bersenjata yang berlaku di mana-mana rantau dunia sememangnya akan menjejaskan kelancaran perdagangan antarabangsa.
“Pada ketika ini sudah tentu apabila berlaku mana-mana peperangan, sudah tentu ia akan menjejaskan aliran perdagangan kita.
“Kadang-kadang bila kapal terbang hendak masuk ke kawasan tertentu, tidak boleh. Seperti semalam, beberapa kapal terbang terpaksa berpatah balik dan ada yang belum berlepas juga tidak dapat terbang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Sentuhan Ramadan Memasak dan Mengedar Bubur Lambuk anjuran Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) di Madrasah Rajaiyah @ Surau Jawa, Kampung Bharu, di sini, pada Ahad.
Menurut Johari, gangguan terhadap pergerakan udara dan logistik antarabangsa itu secara langsung memberi kesan kepada aktiviti ekonomi, bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga negara-negara lain yang bergantung kepada perdagangan rentas sempadan.
“Ini merupakan salah satu bentuk gangguan kepada ekonomi kita dan bukan kita sahaja, semua negara akan terkesan,” jelasnya.
Beliau mengulas mengenai implikasi konflik Iran–Israel terhadap perdagangan negara seperti dilaporkan Malaysiagazette.
Kerajaan, katanya, akan terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan sebarang gangguan terhadap sektor perdagangan dan pelaburan dapat ditangani secara proaktif demi melindungi kepentingan ekonomi negara.
Sumber: MalaysiaGazette
