KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa terbesar di Sabah bagi dekad ini menerusi Op Coleoptera dengan rampasan enam kontena mengandungi pelbagai jenis dadah bernilai keseluruhan RM174 juta.
Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail berkata, kejayaan itu hasil operasi bersepadu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Kontinjen Sabah, dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan lain.
“Op Coleoptera berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa terbesar di Sabah bagi dekad ini. PDRM akan terus komited memastikan sindiket dadah antarabangsa dilumpuhkan sepenuhnya demi keselamatan negara,” katanya pada sidang media khas di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, rampasan melibatkan enam kontena di Pelabuhan Teluk Sepanggar, Sabah dan Pelabuhan Klang, Selangor, dengan penahanan lapan individu berusia antara 23 hingga 45 tahun.
Antara dadah yang dirampas ialah methamphetamine seberat 3,043.5 kilogram (kg), ketamin (102.5 kg), pil ekstasi (90 kg), cecair vape disyaki kokain (4 kg) serta pil Erimin 5 (2.6 kg).
Sindiket dipercayai menggunakan laluan laut dan kontena logistik sebagai modus operandi utama bagi pengedaran merentasi Laut China Selatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, dengan sitaan melibatkan kenderaan mewah, wang tunai dan barangan bernilai tinggi.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Khalid berkata satu lagi sindiket pengedaran dadah berskala besar turut ditumpaskan menerusi Op Bayu 2 di Bundusan, Penampang pada 5 Februari lalu.
Operasi yang dilaksanakan oleh JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah itu membawa kepada penahanan empat suspek yang kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Rampasan melibatkan syabu (111.3 kg), serbuk ekstasi (419.62 kg), pil ekstasi (6.787 kg) serta sejumlah kecil ketamin dan Erimin 5 dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM69.66 juta.
Menurutnya, jumlah dadah yang dirampas dalam operasi itu dianggarkan mampu menampung kira-kira 339,000 penagih bagi sekali penggunaan.
“Kedua-dua operasi ini membuktikan bahawa jenayah dadah masih menjadi ancaman besar kepada negara dan PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kejayaan berkenaan adalah hasil kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat kepada pihak polis, dan menyeru masyarakat untuk terus bersama PDRM dalam usaha membanteras jenayah dadah demi kesejahteraan generasi akan datang.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Anis Rizana Mohd Zainudin; Pengarah JSJN PDRM, Hussein Omar Khan; Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun; Setiausaha Polis Malaysia, Abdul Rahman Kassim serta barisan kepimpinan tertinggi PDRM Kontinjen Sabah dan wakil agensi penguatkuasaan lain.
