KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memperluaskan Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (Totally Protected Area, TPA) menerusi pewartaan kira-kira 216,000 hektar kawasan baharu melibatkan hutan simpan komersial dan Tanah Kerajaan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan TPA di negeri ini mencecah 2.227 juta hektar atau 30.06 peratus daripada keluasan tanah Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pencapaian itu bukan sahaja membolehkan sasaran 30 peratus kawasan TPA direalisasikan, malah mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai negeri yang mempunyai kawasan perlindungan sepenuhnya terbesar di Malaysia.
“Pencapaian ini bukan sahaja membolehkan sasaran 30 peratus kawasan TPA tercapai, malah menaikkan imej Sabah sebagai negeri yang mempunyai TPA terbesar di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Perhutanan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini. Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.
Hajiji menegaskan bahawa hutan memainkan peranan penting sebagai pelindung biodiversiti, penstabil iklim serta sumber rezeki rakyat.
Beliau turut memuji usaha berterusan Jabatan Perhutanan dalam mencapai sasaran mewartakan 30 peratus keluasan negeri sebagai kawasan perlindungan sepenuhnya.
Menurutnya, Jemaah Menteri telah bersetuju dengan cadangan Jabatan Perhutanan untuk mewartakan beberapa lagi kawasan perlindungan penting di bawah Seksyen 5A, Enakmen Hutan 1968 pada tahun lalu.
“Strategi yang digariskan melalui Dasar Hutan Sabah 2018 terbukti berupaya memandu pencapaian jabatan ke aras terbaik dalam usaha konservasi negeri.
“Perkara ini meletakkan Sabah di peta konservasi global bukan sahaja dari aspek keluasan kawasan perlindungan, tetapi juga melalui komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam mencapai sasaran polisi yang ditetapkan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa Jabatan Perhutanan Sabah berjaya mengutip hasil sebanyak RM161 juta pada tahun lalu.
Daripada jumlah itu, RM92 juta atau 57 peratus merupakan hasil royalti kayu balak.
“Pencapaian ini membuktikan sektor perhutanan masih kekal relevan di Sabah dan saya mahu jabatan memastikan kutipan hasil melalui sektor perhutanan dilaksanakan secara telus dan berkomitmen,” katanya.
Ketua Menteri turut menggesa Jabatan Perhutanan supaya terus mempergiatkan program dan aktiviti berkaitan alam sekitar bagi meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kemahiran masyarakat mengenai kepentingan perlindungan hutan.
Beliau berkata usaha itu termasuk penganjuran jerayawara, seminar, ekspedisi saintifik, program outreach serta persidangan antarabangsa seperti Heart of Borneo (HoB).
Sementara itu, beliau memuji Jabatan Perhutanan Sabah atas kejayaan menerima Anugerah Pengurusan Sumber Manusia Terbaik 2025 yang disifatkan sebagai pencapaian membanggakan dan wajar dicontohi oleh jabatan serta agensi lain.
