LAHAD DATU: Polis menahan lima penunggang motosikal dan menyita 10 buah motosikal dalam Operasi Op Motosikal (Samseng Jalanan) yang dijalankan lewat malam Jumaat di beberapa lokasi sekitar bandar ini.
Operasi bersepadu yang diketuai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Lahad Datu itu turut disertai Cawangan Khas (CK), BPJKK, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) serta balai-balai polis di bawah pentadbiran IPD Lahad Datu, melibatkan kawasan Pusat Bandar Lahad Datu, Bandar Sri Perdana, Bandar Fajar Centre dan Jalan Lahad Datu–Sandakan/Tawau.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, kelima-lima penunggang lelaki berusia sekitar 20 tahun itu ditahan kerana tidak memiliki lesen memandu sah serta gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
“Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Dalam operasi sama, seramai 46 individu dan 35 motosikal telah diperiksa,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, sebanyak 32 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, manakala 10 buah motosikal disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana pengubahsuaian tidak dibenarkan dan penunggang tanpa lesen.
ACP Dzulbaharin menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap aktiviti lumba haram dan samseng jalanan yang membahayakan keselamatan awam, sambil menasihatkan ibu bapa serta penjaga supaya memantau pergerakan anak-anak.
“Operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan digesa menyalurkannya kepada Bilik Gerakan IPD Lahad Datu di talian 089-881255,” katanya.
