KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah, Azrul Ibrahim, menegaskan bahawa isu tuntutan hasil 40 peratus, jurang pembangunan dan kemudahan asas masih menjadi realiti yang dirasai rakyat Sabah, sekali gus tidak wajar diselindungi dengan retorik lama.
Beliau berkata, pendirian Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yang dizahirkan dalam ucapannya sempena Permukiman Kerajaan MADANI 2026 adalah jelas dan berterus terang, iaitu Sabah hanya menuntut hak yang telah dijanjikan serta termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Isu kemudahan asas, jurang pembangunan, hasil 40 peratus, perwakilan di Parlimen serta pelaksanaan projek Persekutuan bukan perkara baharu, tetapi realiti yang masih dihadapi rakyat di lapangan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Ahad.
Menurut Azrul, pada masa sama hala tuju Sabah turut digariskan dengan jelas, termasuk keperluan mengekalkan kestabilan politik, meningkatkan keyakinan pelabur, menjadikan Ekonomi Biru sebagai pemacu baharu serta memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau menegaskan, prinsip perjuangan Sabah adalah mudah dan berteraskan keadilan, iaitu pembangunan mesti dilaksanakan secara adil, peluang perlu seimbang dan hak negeri wajib dihormati.
“Perjuangan ini bukan untuk memecah, sebaliknya memastikan Sabah bergerak seiring dengan kemajuan negara melalui kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri,” katanya.
Sebelum ini, Hajiji mengetuai delegasi Sabah menghadiri Permukiman Kerajaan MADANI 2026 di Bangi, Selangor, yang turut disertai beberapa menteri kanan negeri bagi membincangkan isu serta kepentingan rakyat Sabah dalam kerangka pembangunan nasional.
