TAWAU: Kerajaan negeri merancang melaksanakan program khusus bagi memperkasa dan melonjakkan penglibatan belia Sabah dalam industri kreatif menerusi pendekatan lebih tersusun, berimpak tinggi serta diselaras merentas kementerian.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan pembangunan bakat belia dilaksana secara menyeluruh serta mampu menjana pendapatan mampan.
Menurutnya, pengukuhan sektor ekonomi kreatif menjadi antara fokus utama kementeriannya bagi memaksimumkan potensi anak muda Sabah dalam pelbagai bidang berasaskan bakat, kemahiran dan inovasi.
“Sejak dilantik sebagai menteri, saya telah menggariskan hala tuju kepada pimpinan dan ketua jabatan supaya program disusun serta diurus dengan lebih terancang, bukan secara berselerak,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Sumbangan Kembali ke Sekolah Tahun 2026 di Balai Raya Kampung Titingan, di sini Sabtu lalu.
Beliau berkata, kementerian mahu memastikan belia yang mempunyai kebolehan dalam bidang kreatif seperti kraftangan, nyanyian, solekan, kandungan digital, ekonomi gig dan keusahawanan dibimbing secara sistematik agar potensi mereka dapat dilonjakkan ke tahap lebih tinggi.
Nizam menegaskan, pelaksanaan program tidak akan dibuat secara berasingan sebaliknya diselaraskan dengan kementerian lain serta inisiatif di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi mengelakkan pertindihan dan memastikan perbelanjaan kerajaan memberi pulangan maksimum.
“Kita mahu setiap ringgit yang dibelanjakan benar-benar memberi impak kepada belia. Sebab itu penyelarasan antara kementerian yang mempunyai program pembangunan kemahiran sangat penting,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa industri kreatif bukan hanya tertumpu kepada seni tari atau lakonan, sebaliknya merangkumi ekonomi gig dan pelbagai bidang baharu yang mampu menjana pendapatan harian kepada belia dan keluarga mereka.
Menurut Nizam, semua program yang dirangka dalam tempoh lima tahun akan datang disasarkan memberi manfaat kepada lebih ramai belia Sabah, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan ekonomi negeri.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada 100 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, selain sumbangan wang tunai bagi membantu meringankan beban ibu bapa menjelang sesi persekolahan baharu, hasil kerjasama sektor swasta dan Pejabat DUN Apas.
