SANDAKAN: Sepasang remaja lelaki dan perempuan ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kenderaan jenis Perodua Axia yang diparkir di kawasan Bandar Sejati Walk, Batu 7, di sini, selepas gagal dihubungi ahli keluarga sejak Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Ramasamy A/L Kuppan berkata, pihak polis menerima maklumat awam mengenai penemuan dua mayat di dalam kenderaan berkenaan kira-kira jam 8.26 pagi, Sabtu.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati mangsa terdiri daripada seorang lelaki berusia 18 tahun dan seorang perempuan berusia 17 tahun yang dipercayai mempunyai hubungan sebagai pasangan kekasih.
“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota polis bersama Unit Forensik IPK Sabah telah ke lokasi kejadian dan mendapati kedua-dua mangsa berada dalam keadaan duduk di bahagian penumpang belakang kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua tingkap kenderaan ditutup rapat dan berkunci, selain tiada sebarang kehilangan barang berharga dilaporkan.
Menurut Ramasamy, kedua-dua mangsa dilaporkan gagal dihubungi oleh ahli keluarga sejak Jumaat lalu sebelum bapa kepada salah seorang mangsa menemui kenderaan miliknya di lokasi berkenaan dan menjumpai mangsa di dalam kereta.
“Hasil pemeriksaan awal ke atas tubuh kedua-dua mangsa tidak menemui sebarang kesan kecederaan dan setakat ini polis tidak mengesan unsur jenayah atau khianat,” katanya.
Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Duchess of Kent, Sandakan bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.
