TUARAN: Seorang wanita patah tangan manakala empat lagi mangsa cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah Perodua Axia yang bertembung di Jalan Sulaman, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.19 pagi itu, kedua-dua kenderaan berkenaan membawa lima mangsa sebelum pasukan bomba dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, TPgB II Kurong AK Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 5.19 pagi sebelum sebuah jentera FRT dan EMRS bersama sembilan anggota digerakkan ke lokasi.
“Kemalangan melibatkan dua buah Perodua Axia yang bertembung. Pasukan bomba bertindak mengeluarkan kesemua mangsa dari kedua-dua kenderaan sebelum mereka diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dihantar ke Hospital Tuaran bagi menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, Perodua Axia pertama dinaiki tiga mangsa iaitu seorang lelaki berusia 44 tahun dan dua wanita, manakala Axia kedua dinaiki dua lelaki masing-masing berusia 20 dan 33 tahun.
Menurutnya, seorang daripada mangsa wanita mengalami patah tangan, dua lelaki berusia 20 dan 33 tahun mengalami kecederaan parah, manakala dua lagi mangsa turut cedera.
Operasi yang diketuai PBK II Ramlan Betta itu turut mendapat bantuan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lima petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.40 pagi selepas semua mangsa berjaya dikeluarkan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
